Lomo Pictures berbangga apabila terpilih sebagai penganjur Festival Filem Asia Pasifik ke-62 yang dijadualkan berlangsung bermula 29 November hingga 6 Disember depan di Kuala Lumpur.
Pemilihan itu dibuat selepas mesyuarat pelaksanaan bersama ketua dan delegasi yang berlangsung pada 9 Julai lalu.
Pengarah urusannya, Aron Koh meluahkan rasa gembira dengan pemilihan kali ini.
“Dalam pertemuan bersama barisan delegasi-delegasi penganjuran Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA) baru-baru ini, kami sekali lagi terpilih bagi menganjurkan festival berprestij ini.
“Banyak keistimewaan festival kali ini memandangkan ada tayangan filem di negara-negara dunia yang mengambil bahagian termasuklah di Malaysia.
“Selain itu, terdapat juga pelbagai acara menarik yang akan di adakan bagi edisi kali ini,” katanya.
Sementara itu, Aron turun mengulas mengenai kemenangan seorang artis lelaki tempatan di Macau, China baru-baru ini.
“Selain Lomo Pictures Sdn Bhd yang diberi mandat oleh FPA tiada negara atau syarikat lain yang di pertanggungjawabkan untuk festival ini.
“Jadi, sekiranya ada pemenang anugerah di Macau dan sebagainya, ia lebih kepada scam atau palsu,” tegasnya.
Malah, Aron juga akan menjawab semua persoalan menerusi satu sidang media khas yang akan dibuat dalam masa terdekat.
Terdahulu, menerusi laporan media, aktor Datuk Hilal Azman memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Memori di Festival Filem Asia Pasifik ke-61 pada Februari lalu di Macau.
Bagaimanapun wujud kekeliruan apabila terdapat dua festival filem menggunakan nama sama dengan senarai pemenang berbeza.
Setiausaha Agung Federation Motion Producer in Asia Pacific (FDA), Panchacharam Nalliah menjelaskan Festival Filem Asia Pasifik ke-61 yang sah hanya berlangsung di Genting Highlands, Pahang pada 29 November hingga 1 Disember 2024.
Report dari: Utusan TV https://utusantv.com/2025/07/31/lomo-pictures-dipilih-sebagai-penganjur-festival-filem-asia-pasifik-ke-62-bakal-adakan-sidang-media-jawab-kekeliruan-anugerah-scam/